Mesej yang diterima awal pagi semalam.
Buat aku tersenyum. Kerana apa? Kerana dia. Yang jauh. Ya, dia tak pernah lupa.
Walau kita berbeza agama dan kepercayaan. itu semua kau tak pernah kisahkan. Yang kau nampak di hujung pemikiranmu, hanya persahabatan. Meski jauh dan jarang sekali dapat bersua muka, perihal diri aku kau tak pernah sesekali lupa.
Saat kau minta izin aku supaya sama sama membantu untuk menaikkan motivasi bila keadaan sukar nanti, buat aku jadi terharu. Bukan apa. Siapalah aku bagi kau. Kau jauh lebih superior berbanding aku. Aku ini entah siapa-siapa. Hanya warga bumi picisan yang menyimpan partikel-partikel impian yang sudah lama membeku dalam kotak hati ─ yang kini sudah dicairkan dengan api-api motivasi. Walau begitu kau tetap ketepikan segala perkara perkara enteng yang tidak penting itu. Demi sama sama mencapai impian yang dipendam dan diusahakan.
Kita berkongsi jalan impian yang seakan sama. Jalan impian yang kelihatan hampir mustahil dicapai. Yang tidak sampai suku kita kerjakan. Yang berliku-liku dan meletihkan. Hingga kadang kadang buat aku rasa letih tak berdaya dan terfikir, "ah, sudahlah setakat ini sahaja. Appreciate saja apa yang aku dah ada, dan lupakan saja semua usaha yang tak akan kemana".
Kerapkali aku bermonolog sebegitu. Dan syukurlah, kau selalu ada. Membangkang dan menyalakan kembali api semangatku.
Beruntung aku rasa, dikurnia kenalan sebegini. Sesungguhnya.
Terima kasih, kawan.
No comments:
Post a Comment